Tatkala jari jemari ini mencoret luahan di alam maya, ingin sekali ku mulakan dengan memohon jutaan kemaafan buat semua yang mengenali diri ini, mahupun tidak. Barangkali butiran kata yang akan di luah sebentar lagi dan pada entri-entri yang lepas kelihatan terlalu 'baik' tidak setanding dengan diri sebenar dan warna sebenar diri ini. Maka itulah mengapa tulisan ini terhasil sebagai mengenalkan siapakah diri sebenar insan kerdil pemilik blog ini.
Bila ada yang memuji
' kau ni baik lah...' atau...
' baiknya kau ni..bukan macam saya...tengok gaya saya pun kasar, baju pun macam ni...kau tu sopan'...atau...
' malu saya sama kau..bagus bah kau ni..kau ni orang baik-baik'...
Dan segala macam jenis pujian yang berupa 'MEMBANDINGKAN DIRI INI DENGAN DIRINYA...
Sejujurnya, bukan rasa suka yang bertandang di hati, bukan rasa megah jauh sekali bangga dengan segala macam pujian yang di lemparkan pada diri ku...Sebaliknya aku merasa amat-amat malu dan tidak mahu percaya dengan segala pujian itu. Sejujurnya aku amat-amat malu!!..Mengapa??...Kerana realiti sebenar diri yang di puji 'baik' ini hanya ALLAH yang tahu, betapa nya dosa dan kekurangan banyak sekali dalam diri ku.
Sungguh, segala pujian itu bukan untuk ku, tetapi pemilik diri ini iaitu ALLAH S.W.T...Dia lah yang selayaknya menerima segala pujian. Barangkali ada yang benar-benar ikhlas memuji, atau sekadar hiasan di bibir, namun ku serahkan segala kata-kata pujian yang tidak layak untuk diri ini pada ALLAH.
Aku juga seperti gadis biasa yang lain. Melalui onak duri kehidupan yang kian mendewasakan. Jika ku toleh ke belakang 4, 5 tahun yang lalu, aku banyak membuat silap, kerana aku sedang belajar erti hidup. Walhal hingga ke saat ini pun aku masih banyak buat silap dan sedang terus belajar. Maka tidak layak aku di label 'baik' kerana aku belum sampai pun di penghujung usia untuk di kategorikan sebagai hamba yang baik atau sederhana atau tidak baik. Mudah-mudahan pengakhiran ku baik, amin...
Aku juga pernah melalui detik di mana aku keliru dalam memilih identiti diri. Itulah usia remaja yang penuh sekali hitam putihnya. Aku yang sekarang ini bukan seperti aku yang dulu. Namun aku amat-amat bersyukur kehadrat Ilahi. kerana setelah penat ku berjalan dengan tangisan mencari kebenaran, ALLAH telah tunjukkan nya padaku jua. Akhirnya di usia 23 tahun, mata hatiku mula terbuka sedikit demi sedikit mencari identiti diri lantas kini ku temui dan ku genggam erat-erat agar 'Hidayah' itu tidak hilang. Sungguh, ALLAH Maha Baik... Hatiku menangis sebak dan sayu..
Namun begitu, aku sedar aku belum menjadi hamba yang benar-benar 'baik' untuk Rabbiku, aku belum menjadi ummat yang benar-benar 'baik' untuk Rasul ku dan agamaku, aku belum menjadi insan yang benar-benar berguna untuk umat manusia..Aku kini masih terus belajar dan belajar seperti kata aktress wanita Wardina Safiyah,' teruskan belajar dan belajar tanpa henti, itulah perjuanganku'...Lebih kurang begitu yang amat-amat ku fahami kerana aku juga sepertinya, seorang wanita yang terus belajar dan belajar, mencari dan terus mencari Hidayah ALLAH, redha ALLAH, cinta ALLAH yang pada akhirnya adalah, syurga ALLAH.
Tujuan hidupku mula jelas ketika aku berusia 24 tahun. Aku mahu jadi apa, mahu bagaimana, mahu kemana...Sedikit demi sedikit aku belajar mengenal warna sebenar kehidupan. Aku mulai mengenal hati manusia walau pun aku belum benar-benar temui jawapanya hingga kini. Semuanya tidak terjadi sekelip mata. Tarbiyah ALLAH datang perlahan-lahan seiringnya masa dan usia diriku. ALLAH tahu di tahap mana dalam usia hidupku, aku akan mula sedar.
Kepada mereka yang menganggap ku baik, atau memujiku baik, ketahuilah kalian bahawa segala yang baik-baik itu kepunyaan ALLAH, bukan kerana diriku yang sebenar. Cuma aku masih belajar dan terus belajar untuk menjadi label 'baik' yang sebenar di hadapan ALLAH. ALLAH sahaja yang benar-benar kenal isi hatiku. Rambut sama hitam, hati lain-lain...
Ketahuilah kalian, aku malu menerima pujian sebegitu kerana aku tidak layak. Jika lau bukan kerana rahmat kasih sayang Ilahi, aku tidak bisa menjadi baik. Malah, lebih ramai lagi yang jauh lebih baik dari ku dan aku masih belajar ke arah itu.
Berapa kali patah kata 'belajar' ku taipkan, itu bermaksud aku benar-benar ertikanya. Kita semua sedang belajar bukan?...Aku juga begitu..Aku tidak menjadi baik dengan goyang kaki mengharap Hidayah ALLAH turun dari langit lalu tupp!! 'aku kini jadi baik'. Tidak semudah itu...Aku usahakanya, aku cuba walaupun kadang langkah ku salah dan aku melampaui batas.
Namun ada satu rahsia yang ingin ku kongsi pada semua, rahsia bagaimana aku mula-mula melihat cahaya Hidayah ALLAH. Ini lah rahsia hati yang ku tutup selama ini kerana aku masih bermujahadah melawan segala godaan hingga aku di beri sedikit kekuatan untuk merungkai kalbu ini.
Mahukah kalian tahu apa rahsia itu?..
Rahsianya ialah...'Mulakan dengan niat'.. Ya, semudah itu. NIAT!! Dan biar tiada siapa yang tahu niat itu kerana ALLAH telah tahu dan yakinlah sebulat hatimu, bahawa di saat kau memutuskan NIAT itu, ALLAH telah bentangkan jalan nya perlahan-lahan untuk kau lalui. Tinggal usaha mu, serta ketahanan mu melalui jalan itu. Tapi jangan takut, di setiap langkah, ALLAH ada bersama membantu.Yakin lah!
'aku mahu jadi orang baik'...
Itulah niat ku pasang ketika mula mengenal onak duri warna warni kehidupan.
Itulah rahsia ku. Ketika memasang NIAT untuk menjadi lebih baik, waktu itu cuma NIAT, malah tidak pernah terungkap di bibir. Aku pendamkan saja. Namun aku tidak usaha. Lalu di situlah ALLAH menguji NIAT ku itu. Perlahan-lahan, sedetik demi sedetik, selangkah demi selangkah, ternyata ujian datang mengikut tahap iman di dada. Mula-mula ujian kecil-kecil kemudian mulai mencabar. Namun setiap kali selesai ujian itu, baru nampak hikmah tersembunyi di sebaliknya, dan ujian itu kemudian membuat aku tersenyum kembali.
Alhamdulillah...Kini, aku masih sedang belajar lagi dan terus belajar. Terlalu cetek ilmu dan terlalu banyak ilmu perlu ku gali..Dan ilmu itu ialah ilmu agama, ilmu mengenal ALLAH. Aku bukan mahasiswi jurusan agama yang belajar pelbagai selok belok agama. Aku cuma tahu yang asas. Namun aku bertekad, mahu belajar lebih dan lebih lagi. Ya ALLAH, permudahkan niat ku ini...
Bila ku toleh kisah perjuangan hidupku yang lalu, rasanya sepeti mahu ku kembali di masa itu dan memperbetulkan sisi silap ku. Namun masa tidak kan bisa di putar kembali.
Aku tidak baik..aku belum baik..aku masih penuh kekurangan. Maka ku pohon pada ALLAH Yang Maha Pemberi Rahmat, semoga Dia terus melimpahkan hidayah-Nya dalam kalbu ku yang terdalam, agar aku bisa merentangi bahtera kehidupan ini dengan teguh, kukuh, dan biar bagaimanapun ujian hadir, aku masih mampu hadapinya dengan bantuan Ilahi.
Aku juga mohon doa-doa kalian semua agar aku terus istiqamah di dalam ibadah dan perjuangan hidupku ini. Ku pohon kan ajarkan diriku ilmu-ilmu agama yang bermanfaat, ku pohon teguran dan nasihat kalian kerna aku sedang belajar. Kita semua sama-sama belajar dalam arena kehidupan yang fana ini, maka tidak salah kiranya saling ingat-mengingati dan nasihat menasihati.
Sekian, moga coretan ini bisa merungkai isi hati ku yang selama ini diam kerana tak terluah dengan sebuah kata-kata. Aku bukan pujangga, penyair atau pelukis kata-kata indah yang bisa menggamit kalbu insani, aku bukan seorang wanita yang tahu berhias dan berdandan, aku bukan wanita yang mengikuti arus fesyen dan kemodenan, aku cumalah wanita biasa, seadanya, yang sedang belajar bagaimana untuk menjadi wanita menyandang 'solehah' dan 'muslimah'...Bantulah aku...bantulah aku agar aku benar-benar bisa menjadi wanita solehah dan muslimah bukan untuk manusia, jauh sekali penghargaan, tetapi hanya untuk Rabbiku, ALLAH Yang Esa...
Akan ku cuba gagahi langkah ini...Jika aku tersadung dan membuat salah dan khilaf, ku mohon teguran dan nasihat serta sekalung doa agar aku sedar dari silapku. Sekali lagi, mohon maaf segala keterlanjuran kata yang mungkin terluah...
Sampai ketemu lagi di coretan mendatang bersama ku di blog 'Permatafirdaus'..
Pejalan kaki,
Elisha Fifi
24 Mac 2012